Rabu, 15 Julai 2009

PMRAM Jayakan Seminar Keusahawanan Bersama HPA


KAHERAH, 11 Julai – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berjaya mengadakan Seminar Keusahawanan PMRAM 2009 anjuran bersama HPA Industries Sdn. Bhd. bertempat di Dewan Soleh Abdullah Kamil, Universiti Al-Azhar, Madinah Nasr, Kaherah.

Program dimulakan dengan ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh Saudara Abdul Mu’izz bin Muhammad, selaku Presiden PMRAM.

Peserta Seminar Keusahawanan PMRAM 2009 ini telah didedahkan dengan tiga slot pembentangan iaitu Pengenalan HPA oleh Encik Jafri bin Abu Bakar selaku Pengurus Pembangunan Perniagaan HPA, diikuti oleh kertas kerja ‘Produk Halal Tanggungjawab Bersama’ oleh Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil selaku Setiausaha Panel Syariah HPA yang juga AGM Pentadbiran HPA dan ucaptama oleh Pengarah Urusan HPA Industries Sdn. Bhd, Tuan Haji Ismail bin Ahmad.

Pembentangan kertas kerja yang pertama adalah menjurus kepada pengenalan asas kepada perniagaan HPA dan bagaimana HPA sebagai salah satu rangkaian perniagaan Melayu-Muslim yang bergerak secara aktif pada hari ini di Malaysia.

Encik Jafri mengulas bahawa kejayaan jatuh bangun HPA semenjak lebih sepuluh tahun lalu dirasai oleh Tuan Haji Ismail selaku Pengarah Urusan HPA sehingga mampu berdiri kukuh pada hari ini dengan bantuan lebih 1,600 orang staf pekerja.

Selain itu, beliau telah memperkenalkan anak-anak syarikat kepada HPA iaitu antaranya, Al-Wahida Marketing Sdn. Bhd., Radix Industries Sdn. Bhd., HPA Ilham Holidays, HPA Food Sdn. Bhd., Radix Fried Chicken Sdn. Bhd. dan ada beberapa lagi anak syarikat yang bernaung di bawah HPA Industries Sdn. Bhd.

Selaku pembentang kedua, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil yang pernah memimpin Keluarga Pelajar-Pelajar Perlis (KPP) ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir , mendedahkan berkenaan peluang kerjaya yang boleh diusahakan oleh peserta seminar. Para peserta diberi peluang sama ada menceburkan diri di dalam bidang perniagaan melalui usahawan menurut Multi Level Marketing Syariah (MLMS) ataupun sebagai tenaga pekerja (staf) di HPA Industries Sdn. Bhd.

Selain daripada itu, beliau turut menyentuh berkenaan ekonomi Islam melalui pemakanan halal yang sepatutnya diusahakan oleh generasi Muslim pada hari ini.

Pengarah Urusan HPA, Tuan Haji Ismail yang mengisi slot ketiga telah menyampaikan beberapa kalam motivasi semangat kepada para peserta agar sentiasa mampu ke hadapan sebagai seorang agamawan yang bukan sahaja berfikir untuk kepentingan diri tetapi masyarakat amnya.

Beliau juga telah memberikan peluang kepada para peserta untuk mengisi borang ahli HPA secara percuma tanpa membayar RM30 sebagaimana urusan keahlian di Malaysia.

Program yang dihadiri oleh 250 orang peserta ini berjaya memberikan input asas kepada para peserta berkenaan HPA Industries Sdn. Bhd. dan peluang-peluang mahasiswa Al-Azhar untuk menceburkan diri di dalam bidang keusahawanan.

Program sebegini akan diteruskan pada siri-siri mendatang agar golongan agamawan diberikan suntikan semangat untuk tidak meninggalkan sunnah Rasulullah s.a.w untuk berniaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan